Tuesday, July 22, 2008

Tips Penganjuran Hari Keluarga

Menganjurkan program hari keluarga adalah sangat baik dan ianya boleh dijadikan acara tahunan atau dwi tahunan kepada syarikat, persatuan, kelab-kelab mahupun keluarga-keluarga yang besar. Berikut adalah serba sedikit tips dari Ikhwan Today dalam menganjurkan hari keluarga:

Pertamanya, program hari keluarga yang hendak dilakukan mestilah tidak lari daripada 5 syarat ibadah:

1. Niat membuat hari keluarga itu betul-betul kerana Tuhan.

2. Hari keluarga itu menepati syariat Tuhan. Ia tiada unsur “tasyabbuh” atau penyerupaan pada acara agama lain seperti yahudi atau nasrani.

3. Perlaksanaan hari keluarga itu menepati syariat Tuhan. Contoh, pemakaian peserta menutup aurat, tidak berlaku perjudian, pergaduhan dan pergaulan bebas lelaki perempuan yang bukan mahram.

4. Natijah pada hari keluarga itu mesti betul iaitu dengan hari keluarga ini boleh menjalinkan silaturrahim, jadi riadah mengistirehatkan fikiran dan mendapat pengalaman serta ilmu yang boleh mendekatkan diri kepada Tuhan.

5. Tidak meninggalkan ibadah-ibadah asas seperti sembahyang.

Kedua, hari keluarga itu dianjurkan dibuat sejauh 2 marhalah (48 batu) daripada kawasan perumahan atau pejabat. Maka sepanjang ekspedisi atau pengembaraan ke destinasi acara hari keluarga, peserta-peserta boleh diisikan dengan kuliah-kuliah yang bermanfaat oleh motivator. Kuliah-kuliah yang berbentuk kejiwaan yang menceritakan tentang Tuhan adalah sangat-sangat dianjurkan.

Ketiga, sebelum perjalanan, peserta diingatkan tentang niat meraikan hari keluarga ini agar niat benar-benar kerana Tuhan. Diceritakan juga tentang adab-adab musafir. Diterangkan hikmah meraikan hari keluarga agar peserta faham mengapa mereka meraikannya.

Keempat, sepanjang pergi dan balik pengembaraan, peserta dibawa melihat tanda-tanda kebesaran Tuhan. Mencungkil hikmah di sebalik kejadiaan ciptaan Tuhan seperti langit dan awan, gunung-ganang, hutan dan sebagainya.

Kelima, sembahyang dijadikan agenda utama hari keluarga dan sangat diambil berat terutama dalam menjaga awal waktunya dan solat berjemaahnya.

Keenam, pengisian roh itu sangat penting maka diselitkan dalam acara hari keluarga slot untuk kuliah-kuliah ringkas yang dapat mengisi dan mendidik roh.

Ketujuh, acara atau permainan hari keluarga mestilah ada unsur-unsur pendidikan dan bebas daripada maksiat seperti perjudian dan percampuran bebas lelaki perempuan yang bukan mahram.

Kelapan, hari keluarga seharusnya tidak sunyi daripada hiburan tetapi pastikanlah ianya dari jenis hiburan yang tidak melalaikan dan dalam lirik dan lagunya mengandungi unsur-unsur kebaikan. Penggunaan alat-alat bertali dan bertiup patut dielakkan.

Kesembilan, tenaga-tenaga fasilitator yang memimpin pengembaraan rombongan dan yang menjalankan aktiviti-aktiviti hari keluarga mestilah di kalangan orang-orang yang berwibawa, terdidik dan faham syariat.

Sekian.

(Sumber: Ikhwan Today)