Monday, March 3, 2014

Berhati-hati Dengan Perangkap Syirik

Siapa yang beribadah dan dapat membuat baik, dia rasa hasil usahanya, bukan anugerah Tuhan; dia syirik dengan Tuhannya. Dia membuat baik hasil kemampuannya, dia telah melupakan Tuhannya. Dia tidak beradab lagi dengan Tuhannya. Padahal usaha itu adalah kuasa dan kehendak Tuhannya, segala-galanya adalah dari Tuhan yang berkehendak. Kehendak kita itu adalah kehendak Tuhan, kalau Tuhan tidak berkehendak, kehendak kita itu tidak akan diciptakan. Kalau bukan kuasa Tuhan dan kehendak Tuhan, kita tidak akan berkehendak. Kita tidak akan berkehendak kalau bukan kehendak Tuhan. Kalau bukan kehendak Tuhan usaha kita tidak akan ada.

Ramai orang terperangkap dengan usaha-usahanya. Ramai orang syirik dengan Tuhan oleh usaha-usahanya. Begitulah seterusnya orang rasa berjaya dengan  kebolehannya, syirik dengan Tuhan. Orang merasa dengan kepandaiannyalah dia berjaya, syirik dengan Tuhan. Orang yang rasa beribadah dengan tenaganya, syirik dengan Tuhan. Kerana itulah Tuhan ajarkan kita apabila berjaya, bertasbih sucikan Tuhan, memuji-Nya dan meminta ampun kepada-Nya. Supaya syirik bersih dari perasaan kita. Kerana syirik itu sangat halus datang di dalam hati. Adakalanya tanpa disedari ia menyelinap di dalam jiwa. Kalau Tuhan tidak selamatkan kita, susah hendak elakkan syirik khafi. Berhati-hatilah kita berperasaan agar ia tidak menipu kita

Syeikh Ashaari Muhammad 
16.10.2004

Wednesday, February 19, 2014

Madah Abuya (Siri 2)

Air manakala tidak mengalir akan rosak dan busuk. Begitulah orang yang duduk diam dan tidak berjuang, ia sebenarnya merosakkan dirinya sendiri.

Akal yang hidup selalu berfikir. Jiwa yang hidup selalu berzikir. Nafsu yang hidup selalu merangsang. Badan yang hidup selalu aktif berjuang.

Al Quran itu boleh melembutkan hati dan melapangkan dada kalau dibaca dengan makna dan kehendaknya difahami. Jika tidak bukan sahaja tidak ada kesan, jemu pun datang.

Al Quran itu umpama sungai; banyak manfaatnya, untuk mandi, untuk minum, untuk tanaman, untuk ambil ikan, untuk main sampan, ambil pasir dan berbagai-bagai.

Allah dikenal dengan hati bukan dengan akal. Dan orang yang hatinya kenal Allah, pasti kuatlah agamanya.

Anggaplah nikmat dunia yang Allah beri itu kita tidak layak menerimanya tetapi Allah Taala beri untuk menguji kita apakah kita boleh bersyukur padaNya.

Apa saja yang kita lihat di dunia ini boleh mengajar kita, dengan syarat kita melihat sambil berfikir dan hati berhubung dengan Allah.

Bila fikiran manusia rosak, manusia tidak pandai lagi berterima kasih pada orang yang berjasa padanya. Tetapi apabila hati rosak, manusia tidak tahu lagi bersyukur pada Allah Yang Maha Berjasa.

Bila guru dan murid tidak kekal kasih sayangnya sampai ke hujung, menunjukkan ia telah dipisahkan oleh cinta dunia.

Bila hati rasa cukup apa yang ada, tidak susahkan yang tiada, itulah kaya namanya.

Bila makanan dan minuman tidak bersih, pergaulan bebas, tempat belajar banyak maksiat atau hati jahat, jadilah sembahyang itu tidak boleh khusyuk.

Bila manusia tidak beriman hatinya akan keras, nafsunya sangat mendorong membuat jahat dan akalnya tidak memikir ke arah akhirat.

Bila rasa bertuhan itu tidak ada, ‘secara automatically', rasa kehambaan tidak ada. Di waktu itu kalau kita beribadah pun bukan boleh menghilangkan mazmumah tetapi dia menyuburkan mazmumah. Akhirnya ibadahnya itulah yang menghijab diri dengan Allah Taala.

Buah akal ialah ilmu pengetahuan. Buah jiwa atau hati ialah iman. Buah fizikal ialah kemajuan. Alangkah indahnya kalau ketiga-tiga anggota ini melahirkan buah di dalam kehidupan.

Buah ilmu ialah amal ibadah, buah amal adalah akhlak mulia, buah akhlak ialah ulfah (ramah mesra).

Sunday, February 2, 2014

Madah Abuya (Siri 1)

Madah Abuya

Apa saja yang kita lihat di dunia ini boleh mengajar kita, dengan syarat kita melihat sambil berfikir dan hati berhubung dengan Allah.

Apabila hidayah sahaja tidak bertemu dengan taufiq, selalu saja salah dalam bertindak. Hidayah mudah didapati, taufiq susah dicari. Hidayah seperti ilmu, taufiq ialah beramal dapat di"tathbiq" dengan ilmu.

Apabila ilmu dan amal ibadah tidak membuahkan akhlak yang mulia, ertinya ilmu dan amal itu tidak ada nilainya di sisi Allah dan manusia.

Apabila ilmu di akal, pandai berhujah dan berlojik tentang Tuhan. Apabila ada ilmu di lidah, pandai bercakap tentang Tuhan. Apabila ilmu di hati, dia takut dengan Tuhan.

Apabila kasih sayang itu lahir daripada iman, ia akan kekal. Apabila kasih sayang itu kerana keduniaan, ia tidak akan kekal, boleh jadi ia disudahi dengan permusuhan.

Apabila rasa senang dengan pujian, rasa sakit dengan kehinaan menunjukkan kita ada kepentingan peribadi, tanda kita tidak ikhlas membuat kebaikan.

Apabila seseorang memberi tanpa kamu memintanya, ambillah. Itu bererti rezeki pemberian Allah yang disalurkan kepada kamu melalui orang itu.

Antara sifat munafik itu ialah menganggap nasihat orang sebagai sindiran padanya, sebab itu tidak diterimanya.

Apabila terasa diawasi Tuhan, rasa berdosa setiap masa, jiwa derita dengan dosa, rasa syukur dengan nikmatNya, rasa kurang beramal, rasa hina diri dengan Tuhan, itulah tanda sudah memiliki sifat kehambaan.

Ada orang sembahyang banyak tapi ingat Allah sedikit. Ada orang yang boleh sembahyang sikit tapi ingat Allah banyak. Pilihlah yang kedua kerana tujuan sembahyang ialah untuk mengingati Allah.

Adakalanya kesalahan itu membuatkan seseorang itu membaiki diri. Tidak pernah bersalah itu boleh mendatangkan sombong diri. Itulah dia satu kesilapan yang tidak disedari.

Adakalanya tanpa usaha dapat sesuatu yang tidak terduga, agar kita sedar Allah itu berkuasa dan kuasa-Nya tidak bersandar dengan usaha. Tapi perlu diingat usaha kena dibuat sebagai syariat dan untuk pahala. Tidak berbuat di mana datangnya pahala?

Air kalau mengalir tanpa saluran atau parit, ia akan melimpah dan memusnah. Begitulah semangat kalau tidak ada displin dan tidak terpimpin ia akan merosakkan dan memusnah.