Sunday, February 2, 2014

Madah Abuya (Siri 1)

Madah Abuya

Apa saja yang kita lihat di dunia ini boleh mengajar kita, dengan syarat kita melihat sambil berfikir dan hati berhubung dengan Allah.

Apabila hidayah sahaja tidak bertemu dengan taufiq, selalu saja salah dalam bertindak. Hidayah mudah didapati, taufiq susah dicari. Hidayah seperti ilmu, taufiq ialah beramal dapat di"tathbiq" dengan ilmu.

Apabila ilmu dan amal ibadah tidak membuahkan akhlak yang mulia, ertinya ilmu dan amal itu tidak ada nilainya di sisi Allah dan manusia.

Apabila ilmu di akal, pandai berhujah dan berlojik tentang Tuhan. Apabila ada ilmu di lidah, pandai bercakap tentang Tuhan. Apabila ilmu di hati, dia takut dengan Tuhan.

Apabila kasih sayang itu lahir daripada iman, ia akan kekal. Apabila kasih sayang itu kerana keduniaan, ia tidak akan kekal, boleh jadi ia disudahi dengan permusuhan.

Apabila rasa senang dengan pujian, rasa sakit dengan kehinaan menunjukkan kita ada kepentingan peribadi, tanda kita tidak ikhlas membuat kebaikan.

Apabila seseorang memberi tanpa kamu memintanya, ambillah. Itu bererti rezeki pemberian Allah yang disalurkan kepada kamu melalui orang itu.

Antara sifat munafik itu ialah menganggap nasihat orang sebagai sindiran padanya, sebab itu tidak diterimanya.

Apabila terasa diawasi Tuhan, rasa berdosa setiap masa, jiwa derita dengan dosa, rasa syukur dengan nikmatNya, rasa kurang beramal, rasa hina diri dengan Tuhan, itulah tanda sudah memiliki sifat kehambaan.

Ada orang sembahyang banyak tapi ingat Allah sedikit. Ada orang yang boleh sembahyang sikit tapi ingat Allah banyak. Pilihlah yang kedua kerana tujuan sembahyang ialah untuk mengingati Allah.

Adakalanya kesalahan itu membuatkan seseorang itu membaiki diri. Tidak pernah bersalah itu boleh mendatangkan sombong diri. Itulah dia satu kesilapan yang tidak disedari.

Adakalanya tanpa usaha dapat sesuatu yang tidak terduga, agar kita sedar Allah itu berkuasa dan kuasa-Nya tidak bersandar dengan usaha. Tapi perlu diingat usaha kena dibuat sebagai syariat dan untuk pahala. Tidak berbuat di mana datangnya pahala?

Air kalau mengalir tanpa saluran atau parit, ia akan melimpah dan memusnah. Begitulah semangat kalau tidak ada displin dan tidak terpimpin ia akan merosakkan dan memusnah.

No comments: