Tuesday, November 18, 2008

Kem Motivasi Anak-Anak Mengenal Tuhan

Kem Motivasi ini diadakan bertujuan untuk mendidik anak-anak kenal Tuhan sesuai dengan kehendak Islam bahawa awal-awal agama itu adalah mengenal Tuhan. Hanya dengan mengenal Tuhan, anak-anak dapat dibawa untuk menjadi hamba yang cinta dan takutkan Tuhan seterusnya menjadikan anak-anak itu taat dalam melakukan segala perintah Tuhan dan meninggalkan segala larangan Tuhan. Anak-anak yang cinta dan takut Tuhan akan menjadikan mereka orang yang berguna pada masyarakat, sangat mahu berkhidmat dengan orang lain, tolong-menolong, hormat-menghormati dan saling bertolak ansur.

Masalah sosial yang berlaku pada generasi muda hari ini berpunca daripada anak-anak yang seawal usia kecil mereka tidak dikenalkan kepada Tuhan. Hasilnya, mereka mudah sahaja tergelincir daripada kehidupan bertuhan sehinggakan mudah sahaja terpengaruh dengan berbagai anasir luar yang rosak lagi merosakkan. Walhal faktor Tuhan itulah yang akan menjadi benteng kepada jiwa mereka daripada segala macam anasir tersebut. Faktor Tuhan itu juga yang akan membina jati diri mereka seterusnya menjadi orang yang berguna pada agama, bangsa dan negara.